Sunday, March 21, 2004

Assalamua'laykum

jatuh gugur calon-calon pilihanraya yang mendukung kepimpinan ulama' . Adakah ini noktah akhir perjuangan?
La' ... sesungguhnya inilah garis permulaan.

Mungkin kita lebih memerlukan saat ini, untuk melangkah setapak ke belakang dan melihat kembali siapa dan bagaimana kita selama ini.

Mungkin sudah masanya kita perlu sedar bahawa Islam bukan sekadar slogan dan Islam itu suci dari sebarang kepentingan keduniaan. Bukan pangkat dan pengaruh yang kita cari, tapi dengan keikhlasan kita ingin mengangkat kemuliaan Islam ke tempat yang tinggi, agar timbul rasa 'izzah di hati ummat terhadap deen ini.

Janganlah kita mengikuti apa yang mereka lakukan, bahkan janganlah kita memulakan sesuatu yang jauh lebih buruk daripada itu. Bukan sunnah Rasulullah mengutuk, mencela, dan melabel seseorang. Para sahabat radiAllahu a'nhum hanya akan menegur seseorang itu dengan tegas, tetapi teguran mereka itu hanya kerana Allah ta'ala dan tidak pernah disimpan di dalam hati.

Allah ta'ala mengarahkan Nabi Musa a'layhi salam untuk berdakwah dengan penuh hikmah terhadap Fira'un, seorang raja yang kejam. Ambillah pengajaran dari Quran dan sunnah untuk kita meneruskan dakwah yang padu. Ikutilah manhaj da'wah Rasul yang memulakan penyebaran Islam dengan didikan aqeedah.

Sebatang pohon yang kukuh menjulang ke langit memerlukan akar yang kuat dan jauh menjunam ke dalam bumi. Begitulah kefahaman dan kekuatan tarbiyyah yang kita perlukan di kalangan kita untuk menyedarkan diri bahawa tuntutan kalimah tauheed itu lebihs besar ruang lingkupnya, bukan sekadar bersolat dan berpuasa.

Islam itu indah dan kita perlu rasa 'izzah sebagai muslim. Tukarlah persepsi bahawa agama itu leceh dan membebankan kerana Rasulullah salallahua'layhi salam sangat mencintai deen ini dan melarang kita merumitkan urusan agama yang mudah.

Sesungguhnya, semua hikmah kejadian terletak di dalam pengetahuan Allah Ta'ala yang amat luas.