Saturday, August 20, 2011

Bismillaah

Hari pertama menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles atau lebih popular dengan LAX, waktu Maghrib sudah menjengah. Alhamdulillaah sebelum bertolak dari tanah air, kami sudah menghubungi seorang Malaysia yang berada di Los Angeles untuk menjemput kami di LAX. Encik Fakhrul dan isteri beliau,Nicky, menyambut kami di tengah kesibukan LAX dengan penuh ramah walaupun baru pertama kali bersua. Menyedari kami agak keletihan dan dengan cuaca yang agak sejuk, beliau segera membantu memunggah beg-beg pakaian yang banyak ke dalam van. Malam itu kami terus ke sebuah motel berdekatan University of Southern California, USC memandangkan kami belum menjumpai rumah sewa yang sesuai.

Alhamdulillaah, perjalanan daripada LAX ke motel hanya mengambil masa kira-kira 45 minit. Kami mengambil peluang menikmati pemandangan bandaraya penuh cahaya dan warna-warni sambil terkesima dengan kesibukan freeway Los Angeles. Jalannya luas dan bilangan kenderaannya sangat banyak dan bergerak pada kelajuan yang pantas. Disebabkan trafik di LA yang sangat sibuk, pihak berkuasa menyediakan carpool lane khas untuk kenderaan yang dinaiki oleh lebih seorang penumpang untuk menggalakkan orang berkongsi kenderaan dan mengurangkan bilangan kenderaan di atas jalan raya. Biasanya, laluan carpool akan lebih lancar daripada laluan biasa. Pemandu yang bersendirian akan disaman sekiranya menggunakan laluan carpool.

Wednesday, August 17, 2011

Bismillaah

Flash back:

"You can collect your passports tomorrow. Enjoy LA!" said the officer at the US embassy as we completed the visa application procedure. We were going to the USA in a few weeks.

Enjoy LA!:


Setiap kali teringat kata-kata pegawai kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur tersebut, pasti terasa kesyukuran kepada Allaah. Ramai yang pergi ke Los Angeles atau Amerika Syarikat untuk melancong, membeli-belah, atau bersuka-ria kerana Los Angeles khususnya adalah tempat yang penuh hiburan. Dari artis-artis terkenal, Hollywood, Universal Studios, Disneyworld, Kodak Theatre, pantai-pantai dan pusat membeli-belah, Los Angeles menawarkan pelbagai keseronokan duniawi. Alhamdulillaah, kami ke Los Angeles bukan sekadar mengejar glamor kota tersebut, tetapi mengejar peluang belajar ke peringkat lebih tinggi, membina ukhuwaah sesama saudara, dan mengikuti peluang menambah ilmu dan pengalaman di kalangan masyarakat Muslim di sana.

Rasa bersyukur dan gembira di hati apabila peluang untuk meneruskan pelajaran di Los Angeles, Amerika Syarikat diberikan oleh Allaah Ta'ala. Bumi Amerika sememangnya satu tempat yang menyimpan banyak kenangan pahit manis semasa pengajian sarjana muda beberapa tahun lalu. Antara yang memberi kesan mendalam adalah kelana menuntut ilmu duniawi dan ukhrawi di sana. Pemergian ke sana sekali lagi juga didorong kuat oleh keinginan merasai kemanisan kelana menuntut ilmu, Alhamdulillaah.

Kali ini pemergian diserikan dengan kehadiran suami dan anak-anak tersayang. Kehadiran mereka sudah tentu menambahkan seri dalam perkongsian musafir dan perjuangan menuntut ilmu.