Sunday, September 25, 2011

Bismillaah

Bed Bugs

Satu perkara yang perlu diambil perhatian ketika berada di Los Angeles ialah kehadiran sejenis serangga parasit seperti kutu dipanggil 'bed bugs' yang biasanya bersembunyi di dalam tilam, karpet, pakaian dan tempat-tempat yang gelap.

Serangga ini selalunya akan keluar pada waktu malam dan akan menghisap darah. Kesan gigitan serangga ini akan menyebabkan bekas seperti ruam yang sangat gatal. Bilangannya sangat banyak dan akan meninggalkan kesan seolah-olah ruam di sekitar kaki, lengan, dan badan.

Bed bugs boleh merebak dari satu tempat ke tempat yang lain melalui tilam terpakai yang dijangkiti yang dijual ataupun juga daripada beg-beg yang dimasukinya. Apabila beg tersebut dibawa ke tempat lain, Bed Bugs akan ikut sekali dan berpindah ke tempat baru!

Kami sekeluarga juga terkena serangan Bed Bugs ini. Pada mulanya, ibu ke pusat kesihatan universiti untuk mendapatkan nasihat mengenai 'ruam' yang dialami kami sekeluarga. Doktor di klinik hanya mampu memberi ubat sapu dan menasihatkan agar kami menukar tilam kerana dia berpendapat ruam tersebut adalah disebabkan gigitan serangga.

Apartment yang kami sewa sebenarnya sudah didiami Bed Bugs memandangkan penyewa sebelumnya berpindah disebabkan tidak tahan dengan gangguan tersebut. Jiran beragama Islam dari Pakistan yang tinggal di tingkat bawah sangat risau mendengar suara Adam selalu menangis dan menyangka Bed Bugs menjadi penyebabnya. Dia sangat berbaik hati untuk datang ke apartment kami dan memaklumkan tentang kehadiran Bed Bugs di dalam apartment tersebut.


Dengan berbekalkan gambar bekas gigitan Bed Bugs, abah turun ke pejabat pengurusan apartment dan melaporkan hal tersebut. Selang beberapa hari, pengurusan apartment bertindak membuang tilam dan menggantikan karpet apartment. Semburan racun bed bugs juga dilakukan.

AlHamdulillaah, apartment nampak lebih bersih dari sebelumnya. Akan tetapi, bed bugs yang tahan lasak masih bersisa. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk mencari apartment lain dan meminta perlepasan kontrak daripada apartment sekarang memandangkan kontrak setahun penyewaan masih berbaki 6 bulan lagi. AlHamdulillaah, pihak pengurusan memahami situasi kami yang mempunyai anak-anak kecil dan bersetuju menamatkan kontrak tanpa sebarang penalti.