Sunday, August 26, 2007

Bismillah

Aku tidak sedar betapa pantasnya masa berlalu barangkali kerana sibuk menghitung waktu memikirkan bila akan bertemu permata hati baruku. Atau aku mungkin sedar betapa pantasnya masa berlalu kerana aku masih punya banyak perkara yang belum ku selesaikan dan waktu terus berlalu tanpa menunggu, dan aku masih membuang-buang waktu.

Hari ini sudah kutinggalkan semalam dan aku sudah tentunya sudah bertambah usia sehari sebagaimana alam ini, orang lain, dan segalanya. Sudah berlalu lebih dua puluh tahun kehidupanku sebagai insan atas dunia. Sudah tentunya aku hamba hina, dulu, kini, dan selamanya di hadapan Tuhanku yang Maha Esa. Dan waktu terus berlalu, mendewasakan kita, mendekatkan jarak kematian yang pasti, mendekatkan kedatangan hari akhir penghujung waktu di sini.

Waktu, tika kita menanti mungkin terasa sangat lambat berlalu, menyeksa. Waktu, saat kita tidak mahu dan tidak menunggu mungkin terasa terlalu pantas, mendebarkan. Sebagai manusia, sudah benarkah cara kita menilai waktu?

Akupun tidak tahu, masihkah aku berada di dalam kerugian yang disebut-sebut sejak dulu, atau berjayakah sudah aku masuk golongan yang terkecuali itu? Kau bagaimana?