Sunday, July 16, 2006

Bismillah

Kalau kamu sayang dan empati pada saudara-saudara kita, tentu tidak kisah duduk membaca untuk menambah lagi kesedaran, jangan sampai kita lupa ada kezaliman yang menghambat muslimin.


Tahanan Palestin dilupakan
Oleh Nurul Adlina Kamaludin

Tawanan tiga askar Israel dibalas bom, nasib si kecil dalam penjara Yahudi tak dihirau

HANYA kerana tiga askarnya ditawan, puluhan rakyat tidak berdosa menjadi mayat dalam sekelip mata gara-gara kegilaan Israel melancarkan perang di Palestin dan Lubnan. Itu baru tiga, bayangkan 100 askarnya ditawan, pasti meletus perang baru di Asia Barat.

Namun, hakikatnya ada lebih 8,000 tahanan Palestin dan Arab merengkok dalam penjara Israel yang tidak mendapat pembelaan mahu pun simpati dunia sepenuhnya. Malah, jenayah kejam Israel bukan seminggu dua ini di Palestin dan Lubnan, tetapi sejak bertahun-tahun lalu atas nama mempertahankan negara Israel.

Malangnya, sejak tiga minggu lalu, dunia lebih mengenali fakta dibentangkan Israel, tiga askarnya iaitu seorang di Palestin dan dua lagi ditawan Hizbullah di Lubnan. Dunia dipaksa bersimpati dengan rejim Zionis itu dan akur dengan tindakan gilanya membunuh lebih hampir 100 orang di wilayah Palestin, Lubnan selain memusnahkan kemudahan awam serta membedil Lapangan Terbang Antarabangsa Rafiq Hariri di Beirut dan perumahan.

Semua ini demi tiga askar kesayangannya. Namun, dunia tidak pernah mengenali nasib lebih 8,000 tahanan Arab dan Palestin, termasuk kanak-kanak semuda 18 bulan yang disumbat ke penjara Israel. Tahanan yang bukan ditahan sehari dua sebaliknya sejak berdekad lalu, dari anak kecil menjadi dewasa dan yang hidup sehingga mati sehingga kini seakan dilupakan dunia.

Sejak September 2000, lebih 2,500 anak Palestin ditahan dan setakat ini, ada seramai 388 anak kecil dan remaja menjadi penghuni tembok jeriji Israel. Jika dihitung mengikut kiraan matematik sekali pun, nisbah 3 berbanding lebih 8,000 sememangnya jauh daripada seimbang. Tetapi kiraan berat sebelah itu yang ketara apabila nasib tiga askar dibela dan disokong negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan paling menyedihkan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jerman, Sepanyol dan Jepun yang menggesa pembebasan segera mereka.

Nasib tahanan Palestin itu, sehingga rencana ini ditulis hanya dibela kumpulan pejuang seperti Hamas, Hizbullah serta negara lain seperti Iran, Jordan, Mesir, Indonesia, Perancis dan Russia. Liga Arab dan Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar.

Pihak lain yang turut memberi simpati adalah pelbagai pertubuhan hak asasi manusia Palestin seperti Persatuan Addameer dan pertubuhan Yahudi sendiri.

Hakikatnya, sukar untuk mendapatkan bilangan sebenar tahanan Palestin itu seperti diakui media Barat. Bagaimanapun, mengikut pertubuhan bukan kerajaan Israel, setakat Januari 2006, ada lebih 8,200 tahanan Palestin dalam penjara Israel. Jumlah itu termasuk 3,111 ditahan askar Yahudi (741 ditahan mengikut penahanan pentadbiran) dan 5,127 disumbat ke penjara Israel (53 atas alasan penahanan pentadbiran).

Beberapa pertubuhan lain memberikan angka lebih besar kerana adanya tahanan politik Palestin yang memegang pasport Israel tidak diambil kira . Persatuan Tahanan Palestin dalam laporannya tahun lalu, menyatakan seramai 19 tahanan menjalani hukuman 20 tahun dan 140 lain bagi hukuman 15 tahun atau lebih lama. Laporan Kementerian Tahanan dan Hal Ehwal Bekas Tahanan Palestin menyatakan 400 daripada mereka ditahan sebelum Perjanjian Oslo - persetujuan yang sepatutnya menyaksikan pembebasan mereka.

Kebanyakan warga Palestin ditahan atas alasan penahanan pentadbiran atau ringkasnya, dikurung tanpa pendakwaan rasmi yang menyaksikan golongan wanita dipaksa berbogel di depan askar lelaki Israel yang melakukan pemeriksaan badan.

Perintah Tentera Israel 1988 memberi kuasa kepada askarnya menahan warga Palestin sehingga enam bulan lamanya tanpa dibicara dan tempoh itu boleh dilanjutkan.

Dalam laman web www.addameer.org/index_eng.html, ada pelbagai paparan kisah sedih dan duka mengenai warga Palestin yang ditahan Israel. Persatuan Addameer yang memperjuangkan nasib tahanan Palestin, kini melancarkan kempen menuntut kerajaan Israel membebaskan wanita Palestin, Manal Mahmoud Ghanem, 29, dan anak lelakinya, Nour yang berusia satu setengah tahun. Nour yang belum mengerti apa-apa, diberi status banduan oleh Israel yang menjadikannya tahanan termuda Palestin setakat ini.

Pasangan anak dan ibu ini ditahan di Penjara Tilmond selepas Manal dijatuhkan hukuman penjara 50 bulan atas alasan cuba membunuh biarpun dia tidak terbabit. Apa yang menyedihkan, Manal menghidap penyakit Thalassemia dan memerlukan rawatan rapi yang tidak disediakan pihak penjara Zionis itu.

“Saya bimbangkan nasib Nour kerana pengawal penjara ada kalanya menyembur air atau gas pemedih mata ke atas banduan wanita. Dia perlukan cahaya matahari, udara segar dan mainan tetapi itu semua tidak dibenarkan. Jika diberi lampin pun, terlalu kecil buatnya," kata Manal.

Di luar penjara, suaminya, Naji terpaksa menjadi ayah dan ibu kepada tiga anak lain - Majeed, Niven dan Ihad yang membesar tanpa kasih sayang Manal.

Apa yang pasti, Nour bukan satu-satunya tahanan muda Palestin. Pertubuhan Defence of Children International (DCI) memberikan statistik terbaru iaitu setakat bulan lalu, serama 388 kanak-kanak Palestin merengkok dalam penjara Israel. Beratus-ratus lain ditahan ketika kecil, kini sudah dewasa. Kementerian Palestin menyatakan lebih 3,000 kanak-kanak Palestin bergelar tahanan Israel sejak September 2000 yang sebahagian besar ditahan kerana melontar batu.

Ibarat cakap tidak serupa bikin, undang-undang Israel menyatakan kanak-kanak perlu mencecah usia 16 tahun sebelum boleh dibicara atau dijatuh hukuman. Namun, seperti diakui penulis Britain, Isabelle Humphries, hakikatnya ramai yang seawal usia 12 tahun diheret ke mahkamah dan seterusnya penjara. Dasar kejam Israel ke atas kanak-kanak itu bukan setakat melanggar peraturannya sendiri, tetapi juga antarabangsa iaitu Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak bertarikh 20 November 1989 dan Israel antara negara yang memeterainya, jelas menetapkan seseorang itu cuma dianggap dewasa apabila mencecah usia 18 tahun.

Selain anak kecil, lebih 100 tahanan Palestin adalah wanita dan ada diantaranya bersalin dalam penjara. Mereka ditahan bukan kerana melakukan kesalahan, tetapi menjadi galang ganti atas perbuatan saudara lelaki mereka. Namun, yang pasti, mereka menjadi mangsa penderaan seks oleh pengawal penjara Israel.

Pertubuhan hak asasi manusia Palestin dan antarabangsa menerima aduan 85 peratus tahanan yang mendakwa didera. Ia termasuk tangan digari dengan kedudukan badan yang sukar, sering dibelasah, dikurung dalam kegelapan serta memaksa tahanan mengenakan penutup kepala yang dilumuri najis manusia.

Cuma, kita bimbang jika dunia dan kerajaan Arab terus membutakan mata atas pembunuhan penduduk awam Palestin dan Israel, tanggungjawab pembelaan mereka akan diambil sepenuhnya kumpulan pejuang seperti Hamas dan Hizbullah yang jauh lebih berani. Jika itu berterusan, bukan saja semakin ramai tahanan Palestin dan Arab dalam penjara Israel, tetapi lebih banyak nesan insan tidak berdosa yang menjadi mangsa kegilaan Israel dan kebutaan hati dunia, bertaburan sehingga ke luar wilayah Palestin.