Bismillah
Zaman sekarang ini, alam sudah kurang stabil. Kelmarin, tanah runtuh menghapus satu kampung dari peta dunia. Dulu, kawasan itu penuh dengan hiruk-pikuk manusia. Kini, dalam masa beberapa minit sahaja, semuanya sudah jadi ‘kubur’ besar yang dikongsi oleh ribuan insan.
Mudahnya bagi Allah untuk mencipta dan menghapuskan. Semuanya di bawah naungan sifat ar-rahman dan ar-rahimNya. Walau kita semua mungkin hanya melihat derita dan air mata, tapi sudah tentu ada berita lain yang terselit di sebalik tumpahan lumpur dan batu-batu yang menimbus manusia.
Bagaimana kita mahu mengambil hikmah dari peristiwa ini? Bukit-bukit yang gah berdiri akhirnya jadi lelehan lumpur mengalir mengikut graviti. Kita manusia mungkin punya akal dan kebolehan sendiri. Membangun, membina, dan merancang. Namun, kuasa Allah tetap melebihi segala sesuatu yang kita ada.
Aku harap moga akhir kesudahan hidup kita nanti berakhir dengan iman dan Islam yang kukuh bertapak dalam hati. Walau betapa mengejut dan tidak disangka-sangkanya giliran itu tiba, aku berharap hati kita semua sudah sedia saleem. Indah dan elok untuk jadi persembahan semasa dibariskan menghadap Maliki yaumiddeen.
No comments:
Post a Comment