Friday, April 16, 2010

Bismillaah

Monday, March 15, 2010

Saya bukanlah orang yang punya kebolehan luarbiasa. Saya hanyalah seorang insan yang sama seperti anda yang sedang membaca coretan ini, tetapi ada sesuatu di dalam diri kita masing-masing yang sangat hebat dan perlu kita sedari.

Kita adalah satu keajaiban kehidupan. Setiap insan memulakan perjalanannya daripada persenyawaan sel terkecil seorang ayah dan sel terbesar seorang ibu. Walaupun jarak di antara permulaan perjalanan sperma dan ovum hanyalah kira-kira 10cm, tetapi oleh kerana sperma adalah sekecil 5mikron, jarak dan cabaran perjalanan yang mesti ditempuhinya adalah ibarat berenang di dalam lautan berasid sejauh puluhan kilometer.

Seringkali kita merasa kecewa dan sedih dengan kehidupan. Pada masa itu, selalunya kita akan merasa rendah diri dan mungkin juga merasa gagal. Anda tidak sendirian kerana jutaan manusia di seluruh dunia juga pernah melalui detik-detik seperti itu. Ia adalah perkara yang normal. Perasaan-perasaan ini hanya akan menjadi negatif jika kita membiarkannya berlarutan dan menguasai emosi kita, dalam erti kata lain, bila kita kurang bijak menangani perasaan-perasaan ini.

Satu formula yang Allaah titipkan kepada kita di dalam al-Quran mengingatkan kita agar memerhatikan kejadian diri kita dan alam sekeliling kita bilamana kita terasa iman lemah dan tidak bermaya.

In Surat al-Baqarah, v.21-22; Allah Says:
{" O mankind! Worship your Lord Who Created you and those who were before you so that you become pious; Who has made the Earth a resting place for you and the sky as a canopy ..."}

MashaAllah, betapa hebatnya proses kejadian seorang manusia. Ia adalah automatik, pantas, sempurna, dan percuma!

Pernahkah anda merenung tentang kepayahan para saintis untuk mengkaji dan cuba membina semula tisu-tisu dan organ manusia? Sesetengah projek kajian memakan masa bertahun lamanya dan ratusan ribu ringgit. Hampir seluruh usaha kajian kejuruteraan tisu adalah kajian yang memakan kos yang amat tinggi dan masa yang sangat panjang. Sungguhpun begitu, belum ada satupun hasil kajian yang dapat menyamai apa yang telah diciptakan Allah secara semulajadi. Semuanya masih gagal untuk mencapai tahap kesempurnaan ciptaan Allah!

Tuesday, March 16, 2010

MashaAllaah, hari ini seorang sahabat telah mengirimkan satu e-mail yang memperkatakan tentang perlunya kita kembali merenung tentang kejadian diri kita dan alam sekeliling untuk mengukuhkan keimanan. Baru semalam saya mencoret sedikit tentang kehebatan manusia dan alam ciptaan Allaah ini dan hari ini seseorang di Amerika Utara juga bercakap mengenainya. Ini menunjukkan bahawa kejadian ciptaan Allaah memang amat hebat sehingga ramai manusia sentiasa terpesona dan membicarakan tentang diri mereka, alam, dan Yang Maha Pencipta, al-Khaleeq.

Semalam saya berkesempatan melawat halaman peribadi rakan-rakan di laman sembang Facebook. Seorang rakan menulis di statusnya tentang keinginan dan keperluan beliau untuk menulis. Beliau amat mencintai penulisan dan tujuannya untuk mengabadikan sebanyak mungkin butiran permata yang terjadi dalam kehidupannya dalam bentuk tulisan. Beliau juga menekankan bahawa beliau menulis bukan kerana minta dibaca oleh orang lain, tetapi penulisan beliau adalah ditujukan untuk diri beliau sendiri terutamanya.

Perkara ini mengingatkan saya tentang kepentingan niat. Jika kita berbuat sesuatu untuk disanjung dan dipuja, maka kita akan dapat itu semua. Tetapi, mungkin kita gagal mendapat apa-apa faedah untuk bekalan kita menuju kepadaNya. Moga penulisan ini mendapat bimbingan dan redha Allaah Ta’ala, Allahumma amen.

Wednesday April 14, 2010

Alhamdulillaah, telah sebulan berlalu semenjak tulisan yang terdahulu. Hari ini, saya telah menyiapkan segala dokumen termasuk cadangan penyelidikan untuk melanjutkan pelajar ke peringkat doktor falsafah. Walau bagaimanapun, saya masih menunggu surat sokongan daripada Dr. Iskandar Mansour, pensyarah Bahasa Arab di University of Southern California. Moga Allaah memudahkan urusan permohonan untuk menyambung pelajaran ini.

Kebelakangan ini, hati sering dirundung kesayuan setiap kali berita tentang kematian bayi-bayi yang dibuang dan kanak-kanak yang didera. Betapa kejamnya manusia, sehinggakan bayi dan kanak-kanak yang tidak berdosa, yang telah dikurniakan rupa paras yang begitu comel dan aksi yang manja, dibuang, diseksa, dan dibiarkan mati tanpa belas kasihan. Bayi yang baru lahir, lazimnya semua comel dan akan menarik hati sesiapa yang memandang untuk menjadi sayang kepada bayi tersebut. Bagaimana ‘ibu’ yang melahirkan tergamak membungkus bayinya di dalam surat khabar dan kemudian dibalut plastik sampah sebelum dibuang di merata tempat; dari tempat pembuangan sampah hingga ke sungai? Hati saat ini tertanya-tanya, ada berapa banyak lagi bayi malang yang dibuang dan tidak disedari? Hilang begitu sahaja di sebalik timbunan sampah, atau lebih tragis jika terus rentung menjadi abu terbakar? Dangkalnya iman di hati manusia, sehinggakan membuang bayi dianggap sebagai jalan penyelesaian terdekat. Padahal, perbuatan itu bukan sahaja mendapat kemurkaan Allaah, malah dibenci oleh manusia. Walaupun bayi tersebut tidak dapat terus hidup dan menjadi ‘beban’ kepada ‘ibu’nya, namun di akhirat nanti pasti dia akan menuntut atas ketidak-adilan yang telah terjadi ke atas dirinya. Itulah yang akan menjadi seksa abadi di mana penyesalan sudah sia-sia.

Ya Allaah, kasihanilah anak-anak yang teraniaya ini. Moga kau tempatkan mereka di Jannah di bawah limpahan kasih dan sayangMu yang tidak bertepi. Allaahumma ameen.

Ya Allaah

Telah Engkau berikan keistimewaan ini pada manusia

Hidup sihat, aman, dan bahagia

Untuk punya rasa cinta dan sayang

Untuk bernafas dan tertawa

Dengan percuma

Ya Allaah

Telah Engkau anugerahkan bentuk rupa sempurna

Wajah tampan dan rupawan

Akal sihat untuk pandai menilai

Belajar dan berfikir untuk kelangsungan hidup di dunia

Tapi,

Ya Allaah

Telah kami aniayai anugerah yang Kau berikan

Telah kami siakan peluang luas yang Engkau bekalkan

Telah kami hancurkan hidup kami sendiri

Telah kami zalimi anak-anak kami dengan perbuatan kami

Ya Allaah

Telah kami jerumuskan remaja-remaja kami dengan zina yang tercela

Kami biarkan mereka membunuh bayi-bayi kecil yang suci dengan keji

Kami marah dan mengalirkan air mata, rasa sedih dan perit di dada

Namun,

Terus-terusan saja kami suapkan remaja wanita dan lelaki kami dengan hedonisma

Kami relakan perhubungan antara jantina tanpa batas masa dan usia

Kami relakan mereka keluar berpeleseran atas nama keterbukaan dan kemodenan

Kami lalaikan mereka dengan dunia dan membelakangkan agama

Kerana nyatanya

Kami rela lebih ramai bayi malang dibunuh dan dibuang

Demi takut remaja lelaki dan wanita kami menjadi ahli dalam agamanya

Kerana kami tidak mahu mereka takut kepadaMu

Kerana kami lebih gilakan kuasa dan cintakan dunia

2 comments:

bintNaim said...

subhanAllah! Its good to have u back! =), rindu dgn tulisan ibu!

bintNaim said...

ameen, semoga Allah mudahkan hal-hal PhD ibu. =)

uhu, ada manusia yg mahukan anak tertunggu-tunggu, ada pula yg tak mahu anak, dibuang-buang. Kisah umat akhir zaman. astaghfirullah...

nak reflect sikit surah Al-baqarah ayat 7 and 10. Indeed, if we started to sin, Allah will impose the sins more on us and we will keep on sinning until we repented. This is because we are too arrogant to seek forgiveness from Allah, hence Allah multiply those bad deeds on us more!
Point of benefit-once kita sedar kita telah berbuat dosa, segeralah bertaubat! =D
~allahu 'alam.