Saturday, August 20, 2011

Bismillaah

Hari pertama menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles atau lebih popular dengan LAX, waktu Maghrib sudah menjengah. Alhamdulillaah sebelum bertolak dari tanah air, kami sudah menghubungi seorang Malaysia yang berada di Los Angeles untuk menjemput kami di LAX. Encik Fakhrul dan isteri beliau,Nicky, menyambut kami di tengah kesibukan LAX dengan penuh ramah walaupun baru pertama kali bersua. Menyedari kami agak keletihan dan dengan cuaca yang agak sejuk, beliau segera membantu memunggah beg-beg pakaian yang banyak ke dalam van. Malam itu kami terus ke sebuah motel berdekatan University of Southern California, USC memandangkan kami belum menjumpai rumah sewa yang sesuai.

Alhamdulillaah, perjalanan daripada LAX ke motel hanya mengambil masa kira-kira 45 minit. Kami mengambil peluang menikmati pemandangan bandaraya penuh cahaya dan warna-warni sambil terkesima dengan kesibukan freeway Los Angeles. Jalannya luas dan bilangan kenderaannya sangat banyak dan bergerak pada kelajuan yang pantas. Disebabkan trafik di LA yang sangat sibuk, pihak berkuasa menyediakan carpool lane khas untuk kenderaan yang dinaiki oleh lebih seorang penumpang untuk menggalakkan orang berkongsi kenderaan dan mengurangkan bilangan kenderaan di atas jalan raya. Biasanya, laluan carpool akan lebih lancar daripada laluan biasa. Pemandu yang bersendirian akan disaman sekiranya menggunakan laluan carpool.

No comments: